Belia Harapan Bangsa. Cogan kata ini merupakan cerminan jelas kepada fungsi belia dalam masyarakat. Belia adalah pewaris kepimpinan dan tunjang pembangunan dalam merealisasikan matlamat dari segenap sudut aspek sesebuah negara. Golongan ini mempunyai pengaruh serta amat dominan dalam hierarki sesuatu masyrakat, pada masa yang sama diketahui mempunyai daya ketahanan yang tinggi dari sudut fizikal dan mental.
Belia pada masa kini amat berpotensi serta mempunyai kebolehan tertentu yang amat diperlukan oleh kerajaan untuk memajukan negara. Para belia yang cekap dan kreatif dalam hal pengurusan dan perusahaan amat membantu dalam mempelbagaikan sumber ekonomi negara. Pada masa kini, ruang untuk para belia mengetengahkan bakat dan kebolehan mereka terbuka luas. Hal ini dirancakkan lagi dengan kewujudan teknologi telekomunikasi yang semakin canggih, dan untuk itu para belia harus merebut peluang untuk memperkasakan kemahiran teknologi dan ICT dalam diri masing-masing.
Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Pekan Roban mendokong aspirasi negara dalam pembentukan dan pembangunan sahsiah belia. Pelaksanaan program dan aktiviti dengan keterlibatan para belia sentiasa diberi keutamaan bagi membantu mencapai objektif belia seimbang dari sudut intelektual serta hubungan sosial mereka dengan masyarakat. Tuntutan masyarakat pada era globalisasi memerlukan peranan yang rasional dan beridea segar daripada golongan belia, justeru ia harus bermula dari dalam diri para belia itu sendiri dan berkembang sealiran dengan matlamat pembinaan budaya bangsa untuk mewujudkan negara yang bermaruah dan bermartabat tinggi.