Sebagaimana tempat-tempat lain, negeri Sarawak khususnya kawasan Pekan Roban dan sekitarnya juga mempunyai keunikan tersendiri dalam variasi makanan tempatan. Pelbagai jenis juadah dan hidangan yang boleh didapati di sini namun tidak terdapat di tempat-tempat lain, antaranya adalah seperti berikut:
KELUPIS
Kelupis adalah hidangan kuih tradisional yang amat dikenali di negeri Sarawak. Tidak hanya popular di sini, kuih kelupis juga boleh didapati di Brunei dan juga negeri Sabah, namun demikian terdapat sedikit perbezaan dari segi bahan dan cara penyediaan kuih tersebut di tempat-tempat lain. Di bahagian selatan Sarawak, kuih ini disediakan dengan memasak beras pulut bersama santan, dan kemudian meletakkannya ke dalam acuan (contohnya seperti talam). Ia kemudiannya akan dipotong dan diletakkan ke dalam daun nipah untuk disimpan atau dihidangkan. Pada kebiasaannya kuih kelupis akan dihidangkan ketika perayaan seperti Hari Raya, dan sempena majlis perkahwinan serta hari-hari kebesaran yang lain bersama masakan kari, rendang, sambal dan sebagainya.
UMBUT NIPAH
Nipah, atau lebih dikenali sebagai "mulong" dalam kalangan penduduk tempatan adalah tumbuhan yang amat banyak kegunaannya. Salah satu hidangan biasa yang disediakan masyarakat tempatan daripada nipah adalah umbut. Umbut adalah bahagian tengah batang nipah yang lembut dan berwarna putih, dan pada kebiasannya umbut akan dimasak gulai untuk dijadikan sebagai lauk-pauk dalam hidangan seharian.
MADU KELULUT
Sejak kebelakangan ini, madu kelulut semakin popular dalam kalangan masyarakat setempat. Seperti juga madu lebah, madu kelulut diperolehi melalui proses menyedut madu daripada sarang kelulut. Warnanya lebih jernih dan rasanya sedikit masam berbanding dengan madu biasa. Madu ini mempunyai khasiat antioksidan yang tinggi dan boleh membantu merawat penyakit-penyakit seperti kencing manis, strok, hepatitis, kanser, darah tinggi dan batu karang. Disebabkan permintaan dan harganya yang tinggi, masyarakat tempatan mula menternak kelulut secara komersial untuk mendapatkan madunya sebagai satu sumber pendapatan.