Pada 14 Disember 2016, satu program khas telah diadakan untuk Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) Daerah Betong bertempat di Pusat Internet 1Malaysia Pekan Roban. Objektif program ini adalah untuk memperkenalkan aplikasi Dashboard MyHealth kepada ahli-ahli KOSPEN, dan seterusnya membantu mempromosikan penggunaannya kepada komuniti. Sejumlah 23 orang ahli termasuk beberapa orang wakil daripada KOSPEN telah menghadiri program pada kali ini.

Pada 10 Disember 2016, telah berlangsung Program Mendekorasi Cupcakes di Pusat Internet 1Malaysia Pekan Roban anjuran Pi1M Kluster Saratok. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan tentang kaedah-kaedah penggunaan peralatan, serta teknik yang betul bagi menghasilkan cupcakes berkualiti untuk tujuan perniagaan. Program ini telah dihadiri oleh 30 orang peserta dari sekitar Pekan Roban dengan En. Zainal Abidin bin Salleh daripada Saratok sebagai tenaga pengajar jemputan. Cupcakes yang direka oleh para peserta turut dipertandingkan untuk dekorasi cupcakes paling kreatif, di samping program turut diisi dengan KDB Talk dan pengenalan kepada Dashboard MyShop.

Pesta Saratok 2016 anjuran Majlis Daerah Saratok (MDS) merupakan sebuah acara tahunan, dan pelbagai aktiviti serta pertandingan diadakan untuk memeriahkan acara ini saban tahun. Kesemua aktiviti yang dianjurkan melibatkan penyertaan komuniti bagi menyerlah serta memperkasakan bakat yang ada pada masyarakat tempatan. Pada tahun ini, Kluster Saratok (Pusat Internet 1Malaysia Fort Renee, Pusat Internet 1Malaysia Pekan Roban dan Pusat Internet 1Malaysia Kabong) tidak ketinggalan dalam menyertai Pesta Saratok melalui penganjuran Pertandingan Kraftangan/Gubahan Kreatif & Inovatif yang telah berlangsung pada 26 November 2016. Dipengerusikan oleh Kaunselor Sih Yiak May, pertandingan ini telah disertai oleh 16 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Sempena penganjuran Pesta Saratok pada 3-4 Disember 2016 yang lalu, Pusat Internet 1Malaysia Kluster Saratok (Fort Renee, Pekan Roban dan Kabong) tidak melepaskan peluang untuk membuka booth pameran bagi mempromosikan Dashboard Komuniti. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah pertandingan mewarna serta pemeriksaan kesihatan dengan peralatan i-Health. Kunjungan daripada YB En. Abdul Wahab bin Aziz, ADUN N. 38 Kalaka telah memeriahkan lagi pembukaan booth pada kali ini.

Sekitar Karnival KEMAS4U Semarak Desa peringkat negeri Sarawak anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang telah berlangsung pada 27-29 Oktober 2016 di Kabong. Pusat Internet 1Malaysia Kabong, Pekan Roban dan Fort Renee telah menyertai pembukaan booth bagi mempromosikan Pi1M dan juga Dashboard Komuniti pada program kali ini. Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh YB Datuk Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 29 Oktober 2016. Para petugas Pi1M tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra, menyampaikan cenderahati serta mengambil gambar kenang-kenangan bersama tetamu-tetamu VIP ketika para tetamu melawat booth-booth pameran.